Terima tetamu tak diundang
Keadaan rumah pasangan cikgu berselerak selepas dipecah masuk semalam.
TANJONG KARANG - Seorang guru sekolah menengah, di sini tidak menyangka kelibat tiga remaja yang tergesa-gesa keluar dari belakang rumahnya rupa-rupanya tetamu tidak diundang.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang semalam itu, tiga remaja keluar dari pintu dapur sambil menyorong dua motosikal dalam keadaan mencurigakan sebaik sahaja menyedari kehadiran guru terbabit.

Suami mangsa, Mohd Zamri Kahar, 44,  berkata, pada awalnya isterinya, Nazura Abdan, 42, tidak mengesyaki apa-apa dan terus parkir kereta sebelum masuk ke dalam rumah.

“Namun, sebaik sahaja membuka pintu utama, isteri sangat terkejut melihat segala barangan di ruang tamu dan bilik berselerak manakala pintu belakang mempunyai kesan umpil.

“Dalam keadaan cemas dan bingung, dia segera menghubungi saya yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja. Saya segera menghubungi pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Zamri berkata, menjadi rutin harian isteri untuk pulang ke rumah pada jam 1.45 petang selepas selesai urusan sekolah dan menghantar anaknya ke sekolah agama.

“Saya tidak menyangka akan menjadi mangsa kes pecah rumah memandangkan sebelum ini, kejadian sama turut berlaku di kawasan ini Sabtu lalu yang membabitkan kerugian ribuan ringgit.

“Bagaimanapun, saya mendapati hanya komputer riba dan wang tunai yang ditinggalkan di dalam rumah dilarikan dan berharap pihak berkuasa dapat menangkap suspek terbabit.

“Saya juga mahu menyarankan kepada orang ramai supaya mempertingkatkan tahap keselamatan dalam dan luar rumah bagi menggelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.