Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, taktik tekong menyeludup empat warga asing pada awal pagi tidak berhasil apabila dikesan APMM berhampiran Tanjung Ayam, Pengerang, dekat Kota Tinggi sebelum mengejarnya hampir 25 minit dan menahan tekong berusia 48 tahun bersama empat lelaki berusia 18 hingga 41 tahun yang diseludupnya.
Bot laju APMM kejar
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Kapten Rozali Md Said, berkata bot laju APMM bersama empat anggota yang melakukan rondaan rutin mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum mengejarnya.
Bot gentian kaca
“Mulanya, bot gentian kaca dari perairan negara jiran itu cuba menyusup ke negara ini pada kelajuan rendah tetapi sejurus menyedari bot APMM menghampirinya, tekong itu memecut dan enggan berhenti.
“APMM terpaksa mengejar bot itu hampir 25 minit sebelum tekong bot terbabit mengalah dan pemeriksaan lanjut kemudian menemui empat lelaki warga Indonesia sedang berbaring dalam bot terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Rozali berkata, siasatan awal mendapati semua pendatang tanpa izin itu dan tekong berkenaan dalam perjalanan dari Batam, Indonesia ke Sungai Rengit dekat sini untuk bekerja di negara ini.
RM1,000 bayar pada ejen
Katanya, tekong bot mengaku menerima upah RM150 untuk satu perjalanan, malah sebelum ini sudah lima kali membawa keluar pendatang tanpa izin secara haram dan kali pertama ditugaskan membawa mereka masuk ke negara ini.
“Kempat-empat pendatang tanpa izin itu pula dikatakan dikenakan bayaran sehingga RM1,000 setiap seorang kepada ejen bagi menguruskan kemasukan mereka ke negara ini untuk bekerja,” katanya.
Razali berkata, tekong dan empat pendatang tanpa izin itu dibawa ke pejabat APMM Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan Seksyen 52 Akta Imirgresen 1959/63 (Akta 155).
No comments:
Post a Comment