Search This Blog

Monday, January 28, 2013

Tanah runtuh ragut 11 nyawa



BEBERAPA buah rumah mengalami kerosakan selepas Ribut Oswald membadai Queensland, timur laut Australia, kelmarin. - AGENSI
JAKARTA 27 Jan. - Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh manakala 19 yang lain dilaporkan masih hilang dalam dua kejadian tanah runtuh berasingan akibat hujan lebat di barat Indonesia.
Menurut pegawai bencana, Ade Edward hari ini, sebanyak 20 kediaman musnah ditimbus tanah runtuh yang berlaku pada waktu subuh di perkampungan Tanjung Sani di daerah Agam, wilayah Sumatera Barat.
“Pasukan penyelamat menemukan tujuh mayat, selain meneruskan operasi mencari 18 yang lain ekoran dikhuatiri tertimbus di bawah lumpur.
“Tiga penduduk kampung tersebut yang cedera sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan," katanya.
Dalam kejadian kedua, empat pekerja cari gali syarikat Pertamina Geothermal Energy terkorban akibat ditimbus tanah runtuh, manakala seorang lagi hilang di pulau Sumatera, pada petang semalam.
Pegawai syarikat tersebut, Adiatma Sardjito berkata, kesemua pekerja sedang menikmati makan malam ketika tanah runtuh berlaku.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki dilaporkan hilang manakala beratus-ratus kediaman terpaksa dikosongkan di timur laut Australia ekoran banjir yang melanda Queensland, hari ini.
Banjir yang disebabkan oleh Ribut Oswald itu menyebabkan seorang lelaki berusia 27 tahun hilang selepas dia cuba menyeberangi arus deras berhampiran Gympie, menurut Datuk Bandar, Ron Dyne.
“Banjir besar juga dijangka melanda bandar Bundaberg dan Gladstone, menyebabkan beratus-ratus kediaman dikosongkan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini," jelasnya.
Pada 2011, kira-kira 35 orang terkorban akibat banjir besar yang melanda Queensland. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130128/lu_01/Tanah-runtuh-ragut-11-nyawa#ixzz2JECJtmbY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment