Search This Blog

Saturday, January 5, 2013

Tanah runtuh ke kolam tadahan punca banjir lumpur - MPSJ



KUALA LUMPUR 4 Jan. - Tanah yang runtuh di kawasan pemajuan Bukit Cermin, Subang Jaya yang menggelongsor ke kolam tadahan berhampiran menjadi punca banjir lumpur yang menimbus tujuh buah kenderaan semalam.
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam kenyataan akhbarnya memaklumkan, kapasiti kolam tadahan di kaki bukit itu tidak dapat menampung kuantiti tadahan air sehingga menyebabkan limpahan air dan lumpur berlaku.
Ekoran kejadian itu, MPSJ telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja secara serta-merta dan mengarahkan pemaju, Kingsley Hill Sdn. Bhd. membaiki kawasan tanah runtuh.
"Pemaju juga diminta membersihkan lokasi banjir dengan segera bagi membolehkan penduduk Putra Heights menggunakan jalan itu seperti sedia kala.
"Ketika ini sudah 70 peratus kerja pembersihan dilakukan dan jalan tersebut masih ditutup, namun jalan alternatif boleh digunakan di Seksyen 27, Shah Alam dan Lebuhraya Elite," kata kenyataan itu hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.12 petang semalam, lima buah kereta dan sebuah van ditimbus banjir lumpur dalam kejadian yang berlaku berhampiran Balai Polis Putra Heights itu.
Menurut kenyataan itu, kawasan seluas kira-kira 38.87 hektar itu akan dilaksanakan pembangunan bercampur berdensiti rendah yang melibatkan pembinaan rumah oleh pemaju.
"Ketika ini, kerja-kerja tanah untuk penyediaan infrastruktur sedang dilaksanakan termasuk akses jalan raya sebelum pembinaan bangunan dilakukan," jelas kenyataan itu.
Kebenaran merancang projek pemajuan tersebut telah diluluskan pada 3 Februari 2010 dan kelulusan kerja-kerja tanah telah diperolehi pada 21 Julai 2009, menurut kenyataan itu lagi. MPSJ juga sedang menunggu laporan teknikal pemajuan dan kejadian tanah runtuh itu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
"Pemaju juga diarahkan membayar ganti rugi terhadap semua pemilik kenderaan yang terlibat dengan kejadian banjir lumpur itu," ujar kenyataan itu lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130105/wk_05/Tanah-runtuh-ke-kolam-tadahan-punca-banjir-lumpur---MPSJ#ixzz2H6T7Ly49
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment