Search This Blog

Thursday, January 17, 2013

Tak serik stor gas diserbu



Kuala Lumpur: Tidak serik apabila pemilik sebuah stor yang dipercayai menjalankan kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen yang diserbu kira-kira empat tahun lalu masih beroperasi di lokasi sama.

Bukan itu saja, pemilik stor yang terletak berhampiran Stesen Komuter Segambut itu juga sudah diberikan notis merobohkan premis berkenaan daripada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dipercayai pemilik tanah berkenaan pada Ogos tahun lalu, namun tidak diendahkan.


Dalam serbuan jam 4.30 petang semalam, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan rakannya warga Myanmar berusia 28 tahun ditahan ketika sedang memindahkan gas domestik bersubsidi ke dalam tong gas industri.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Othman Nawang berkata, pihaknya melakukan risikan sejak dua minggu lalu bagi mengesan pergerakan sindiket berkenaan dan pihaknya percaya kedua-dua lelaki yang ditahan itu adalah pekerja.


“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menjejaki dalang atau pemilik stor ini selain mengenal pasti individu atau syarikat yang membekalkan gas industri domestik bersubsidi kepada mereka,” katanya.


Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 602 tong gas domestik bersubsidi 14 kilogram dan 70 tong gas industri 50 kilogram setong yang bernilai lebih RM70,000.

No comments:

Post a Comment