Search This Blog

Sunday, January 27, 2013

Tak sangka mimpi haiwan berbisa petanda buruk



Johor Bahru: Seorang suri rumah tidak menyangka mimpi seekor haiwan berbisa menyerupai ular memasuki rumahnya menjadi petanda buruk, apabila rumah diduduki sembilan beranak itu di Jalan Simbang 19, Taman Perling di sini, musnah dalam kebakaran, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, pasangan Abdul Razak Raja Abdullah, 42 dan Sarah Bibi Musa, 39, menanggung kerugian kira-kira RM30,000 selepas dua bilik tidur dan bumbung rumah mereka musnah.


Abdul Razak yang juga kelindan lori berkata, dia terkilan dengan kejadian yang berlaku ketika keluar bekerja.

Menurutnya, pada awal pagi kelmarin, isterinya bermimpi haiwan berbisa menyerupai ular memasuki rumah, namun tidak menyangka ia petanda buruk.


“Ketika kejadian, isteri dan empat anak serta ibu saya berusia 79 tahun berada di rumah. Mujur, tiada orang berada di dalam bilik tidur kerana api bermula dari bilik utama,” katanya.


Pasangan itu memiliki enam anak berusia antara empat hingga 15 tahun dan tinggal di rumah teres kos rendah dua tingkat itu sejak enam tahun lalu.

Abdul Razak berkata, Sarah yang berada di ruang tamu hanya menyedari kebakaran apabila melihat pantulan cahaya di pintu gelongsor cermin rumah jiran hadapannya. Menurutnya, Sarah kemudian menyelamatkan ahli keluarganya dengan membawa mereka keluar sebelum meminta pertolongan jiran menghubungi bomba.


Katanya, beberapa jiran turut berusaha memadam api.

“Tidak disangka hari ini (kelmarin) kami kehilangan tempat tinggal.


“Buat sementara waktu, kami dibenarkan tinggal di dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berhampiran rumah,” katanya yang bersyukur semua ahli keluarganya selamat.


Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Omera Omar berkata, 16 anggota dan sebuah jentera menjalankan kerja menyelamat dan memadam kebakaran.


Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan semua mangsa dalam keadaan selamat.


“Anggota kami berjaya mengawal api dalam tempoh 10 minit. Kejadian mengakibatkan 30 peratus daripada harta benda keluarga mangsa musnah,” katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment