Muhammad Heshamfahmi
Muhammad Heshamfahmi mengaku tidak bersalah membakar rumah dan melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Keratan akhbar Sinar Harian 3 Januari lalu.
Keratan akhbar Sinar Harian 3 Januari lalu.
KUALA TERENGGANU - Berang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dilayan bapa, seorang pemuda bertindak mengugut dan membakar rumah keluarganya dalam satu kejadian di Kampung Maras, Batu Rakit, di sini, 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Heshamfahmi Dilah, 25, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh berdepan dengan dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya serta Seksyen 503 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia mengaku tidak bersalah melakukan khianat menggunakan bahan api bertujuan memusnahkan rumah yang dijadikan tempat kediaman di Kampung Maras, Batu Rakit, di sini, kira-kira jam 11.45 malam, pada 1 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Heshamfahmi berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, anak ketiga daripada enam beradik itu turut mengaku tidak bersalah bagi dakwaan mengugut membakar kereta dan rumah keluarganya dengan niat hendak menyebabkan rasa bimbang terhadap bapanya, Dilah Muhamad, 55, di lokasi sama, kira-kira jam 10.37 malam, hari sama.

Bagi dakwaan itu, Muhammad Heshamfahmi berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-dua pertuduhan direkodkan, Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Disebabkan bimbang keselamatan keluarga, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Muhammad Heshamfahmi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat.

Sinar Harian keluaran 3 Januari lalu melaporkan, seorang pemuda dipercayai telah bertindak membakar rumah ibu bapanya akibat tidak puas hati kerana tidak mendapat wang dimintanya.