Search This Blog

Friday, January 18, 2013

Tak dapat lari



Seri Iskandar: Selepas melarikan diri dalam cubaan mencuri sebuah kereta, seorang bekas banduan ditahan ketika menunggang motosikal curi jam 10 pagi semalam di Kampung Sungai Kerang, di sini.

Suspek yang berusia 29 tahun sebelum itu dikesan melarikan Proton Iswara milik seorang penduduk di Kampung Bukit Chawi, di sini, petang kelmarin.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu segera memburu suspek sebelum terserempak kereta dilarikan itu sekitar jam 10 malam kelmarin.

“Polis cuba menahan kereta berkenaan, namun suspek terus memecut laju sebelum polis mengejarnya sejauh lebih lima kilometer. Bagaimanapun kereta dipandu suspek itu terbabas ke dalam sawah padi dan berjaya meloloskan diri.


“Polis kemudian meneruskan operasi menjejak suspek sebelum mendapat maklumat suspek menaiki motosikal berhampiran kawasan Kampung Sungai Kerang.


“Polis mengejar suspek sebelum memberkasnya. Hasil siasatan mendapati motosikal itu juga motosikal dicuri.

“Penahanan suspek sekali gus menyelesaikan dua kes curi kenderaan dalam tempoh masa kurang 24 jam. Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.


Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kes curi dan pecah masuk rumah selain pernah dipenjarakan lima kali.

“Saya mengingatkan orang ramai supaya menjaga harta benda mereka sebaik mungkin seperti kereta dan motosikal yang perlu dikunci walaupun berada di hadapan rumah sekalipun,” katanya.

No comments:

Post a Comment