Search This Blog

Thursday, January 17, 2013

Syak kontraktor cuai



Shah Alam: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat laporan polis berhubung kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan sebuah rumah banglo yang runtuh di Jalan Jed Satu 7/5A, Seksyen 7, Oktober tahun.

Laporan polis berkenaan dibuat Pengarah Penguat Kuasa CIDB, Abdul Razak Husin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 10 pagi, semalam.


Abdul Razak berkata, pihaknya mengemukakan laporan itu kerana mengesyaki kemungkinan berlaku kecuaian ketika kerja mengubah suai banglo berkenaan sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja, manakala lima lagi cedera.

Katanya, laporan itu juga dibuat kerana CIDB mengambil berat aspek keselamatan di tapak pembinaan dan tidak mahu pihak yang terbabit atau orang ramai mengambil ringan soal undang-undang dan keselamatan di tempat pembinaan. “Baru-baru ini kami sudah mendakwa Syarikat Sara Design Studio mengikut Seksyen 29 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 kerana menjalankan kerja pengubahsuaian tanpa memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah daripada CIDB mengikut Seksyen 25 Akta 520.


“Sepanjang 2012, pihak kami sudah mengambil tindakan disiplin terhadap kira-kira 60 kontraktor kerana tidak menjaga kebajikan pekerja seperti tidak membayar gaji,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Abdul Razak berkata, berdasarkan statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sebanyak 115 kes kemalangan di tapak pembinaan sudah disiasat sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 58 kes membabitkan kemalangan maut, manakala 12 kes menyebabkan pekerja hilang keupayaan kekal.


“Kami tidak mahu soal keselamatan dan undang-undang di tapak pembinaan dipandang remeh oleh semua pihak termasuk syarikat kontraktor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berdasarkan laporan mati mengejut.

No comments:

Post a Comment