Search This Blog

Thursday, January 17, 2013

Susulan kilang sawit: Mangsa letupan berubah pendiam sebelum kejadian



HULU TERENGGANU - "Tidak disangka sikap pendiam satu petanda arwah akan meninggalkan kami sekeluarga," kata isteri Allahyarham Azmi Abdullah, 47, penyelia yang maut dalam kejadian letupan kilang kelapa sawit malam tadi.

Zubaidah Sulong, 38, berkata arwah suaminya tidak menunjukkan perubahan yang pelik namun dua minggu kebelakangan ini dia menjadi agak pendiam.

Katanya sebelum ini arwah cukup periang dan rapat dengan anak-anak tapi kebelakangan ini dia tidak banyak bercakap dan mereka menyangka ia akibat masalah kesihatan yang dialaminya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu terkejut dan cemas setelah menerima panggilan telefon kira-kira pukul 8.30 malam tadi dari rakan suaminya meminta beliau sekeluarga ke Hospital.

"Masa terima panggilan telefon itu hati saya dapat rasakan sesuatu yang menimpa arwah namun saya tetap tenang dan berfikiran positif...puas saya bertanya untuk apa saya ke hospital tapi rakan arwah tetap tidak memberitahu.

"Tiba di hospital saya dimaklumkan suami saya meninggal selepas sebuah mesin mengukus kelapa sawit di tempat kerjanya meletup dan terkena arwah, saya tidak dapat bayangkan keadaan arwah yang melucur hampir seluruh badan," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Hulu Terengganu, di sini.

 Zubaidah berkata suaminya yang bertugas sebagai penyelia di kilang berkenaan hanya sempat menjamah juadah nasi berlaukkan sayur dan ikan masin sebelum memulakan tugas pada pukul 4 petang dan berakhir pukul 8 pagi.

"Saya terkejut dan tidak sangka dengan kejadian itu. Baharu petang semalam kami makan bersama namun hari ini dia telah meninggalkan kami sekeluarga," katanya dan memberitahu bahawa arwah suaminya telah 15 tahun bekerja di kilang itu.

Kejadian pada pukul 7.45 malam tadi itu mengorbankan empat orang -- Azmi, dua pekerja rakyat Nepal iaitu Pramod Kumar Ray, 30, dan Sanjib Kumar Pasman, 26, serta Mohd Razlan Mokhtar, 25.

Azmi dan Pramod mati di tempat kejadian manakala Sanjib mati dalam perjalanan ke hospital dan Mohd Razlan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada pukul 9.30 pagi ini.

Tiga yang cedera ringan ialah Ahmmed Ali, 39, Rezuyam Marom Ali, 45, dari Bangladesh dan Sabad Yedan, 44, dari Nepal. - Bernama

No comments:

Post a Comment