KOTA TINGGI - Seorang penungang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 63 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran simpang ke Felda Pasak di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa Nazri Paino @ Kamal, 35, yang membawa motosikal jenis Honda Wave bersama isterinya, dipercayai masuk ke laluan bahu jalan tanpa melihat Perodua Myvi tersebut.

Katanya, Perodua Myvi yang datang dari arah Kota Tinggi itu tidak sempat mengelak lalu melanggar tepi motosikal mangsa dan menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian.

Menurutnya, isteri mangsa, Sarizah Md Sharif,34 yang turut cedera telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan manakala mayat Nazri telah dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 4.

Menurut saksi, Lydia Saleh, 30, kejadian berlaku kira-kira  jam 7.20 pagi di mana dia yang melalui jalan sama selepas  menghantar anaknya ke sekolah di Felda Pasak, terkejut melihat kemalangan depan matanya sendiri.

"Pasangan tersebut baru sahaja membeli sarapan di kedai berhampiran.

"Ketika hendak keluar ke jalan besar, motosikal yang ditunggang dirempuh kereta tersebut yang datang dari arah Kota Tinggi.

"Walaupun mereka memakai topi keledar namun saya tidak sangka suami mangsa meninggal di tempat kejadian," katanya.