Search This Blog

Saturday, January 5, 2013

Sindiket penyeludupan tumpas



JEMPOL 4 Jan. - Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan selepas menahan empat anggota kumpulan itu serta merampas pelbagai barang seludup seperti arak, rokok dan mercun bernilai lebih RM50,000 dalam tiga serbuan di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Muhibbah, Bahau dan menahan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dan seorang wanita berusia 20-an.
"Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas sebanyak 49 karton minuman keras pelbagai jenis dan 1,025 karton rokok.
"Susulan tangkapan ini, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Meranti dan menahan seorang wanita berusia lingkungan 40-an selain berjaya merampas sejumlah mercun, rokok serta minuman keras," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.
Menurut Hamzah, susulan kejayaan itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Panjis, Rompin dan menjumpai sejumlah mercun dan rokok pelbagai jenama.
"Polis menahan seorang wanita warga emas berusia 70-an yang berada di kediaman berkenaan ketika serbuan dilakukan," katanya.
Menurut beliau, polis percaya semua barang tersebut diseludup dari negara jiran sebelum dijual di daerah ini berikutan permintaan tinggi terutama ketika musim perayaan.
"Semua barang yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dan kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya.
Tambahnya, kesemua suspek disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang seludup dan Akta Bahan Letupan 1957.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130105/ws_05/Sindiket-penyeludupan-tumpas#ixzz2H6TaxRgp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment