Sindiket edar ganja tumpas
Abdul Rahim (dua, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran ganja apabila menahan seorang daripada dua suspek di kawasan Taman Desa Embun Emas, Tanjung Tokong di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan yang dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut jam 4.45 pagi itu, lelaki berusia 40-an ditahan manakala seorang lagi meloloskan diri selepas polis menghampiri mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebaik dihampiri polis, kedua-dua suspek bertindak meninggalkan kereta jenis Honda Civic yang dinaiki dan melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran.

Menurutnya, siasatan awal terhadap suspek yang ditahan berjaya menemui 110 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 105,924 gram di dalam kereta yang dipandunya.

“Susulan penahanan itu membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Toyota Camry tidak jauh dari lokasi berkenaan. Namun pemeriksaan tidak menemui sebarang dadah.

“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau bagi kes dadah dan satu kes ragut. Dia kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi mengesan suspek turut dibantu anggota unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Abdul Rahim juga tidak menolak kemungkinan dadah yang dibawa suspek akan dipasarkan di negeri ini.

“Dianggarkan dadah yang dirampas bernilai RM330,000,” katanya.

Sehubungan itu, polis sedang berusaha mengesan seorang lagi suspek dan tangkapan akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.