Search This Blog

Monday, January 28, 2013

‘Saya, bapa gagal selamat adik’



Segamat: “Saya dan bapa bukan saja gagal menyelamatkan adik, malah kami hampir lemas dipukul arus deras,” kata Aina Nadira,19, kakak kepada Aina Nabila Zurimi, 13, yang lemas ketika mandi bersama keluarga di Sungai Segamat di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemerih itu hilang dibawa arus Sungai Segamat ketika mandi bersama bapanya, Zurimi Mustaffa, 43, bersama tiga adik beradiknya dan seorang rakan kakaknya.


Aina menuntut di sebuah kolej di Melaka berkata, pada mulanya bapa bersama adik lelaki, Shahril, 15; Aina Nabila; adik bongsu, Aina Sahira, 9, dan rakan sekolej, Nora, 19, tidak merancang untuk mandi di Sungai Segamat.

“Bagaimanapun, tiba-tiba kami terasa ingin mandi di sungai itu dan ketika berada di dalam sungai selama 15 minit, Aina Nabila sempat memberitahu saya kakinya tidak jejak ke dasar sungai.


“Belum sempat saya menasihatkannya supaya pergi ke kawasan lebih cetek saya melihat dia mula terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus sungai dan tenggelam,” katanya.


Menurutnya, ketika itu dia dan bapanya cuba berenang menyelamatkan adiknya itu namun hampir lemas dibawa arus sungai dan terpaksa berenang ke tebing.

“Sebelum kejadian adik lelaki menunggang motosikal untuk pulang ke rumah di Kampung Gudang Garam bagi menjemput ibu, Norhaslin Rosli, 41, mandi bersama kami di sungai itu.


“Panik dengan kehilangan adik, kami terus meminta bantuan seorang pengusaha pusat karaoke berhampiran untuk menghubungi pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Jalan Abdullah Sailan Serin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.20 petang dan 20 anggota pasukan penyelamat termasuk lima ahli skuba dikejarkan ke lokasi.


“Keadaan arus deras dan kayu bertaburan dalam sungai itu menyukarkan kami mengesan mangsa namun kami kini cuba menggunakan pendekatan sesuai.


“Usaha mencari dan menyelamat dihentikan jam 12 tengah malam kelmarin keana keadaan cuaca gelap dan bersambung jam 7.30 pagi tadi (semalam) hingga mangsa ditemui,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Hanafi Daud berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh orang ramai kira-kira 1.5 kilometer dari tempat dia hilang.

No comments:

Post a Comment