Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Satu maut, ribuan pindah kebakaran hutan di Tasmania



Sebuah rumah dijilat api dalam kebakaran hutan di Dunalley, kira-kira 55 kilometer ke timur Hobart, pulau Tasmania, semalam. - REUTERS
SYDNEY 5 Jan. - Seorang dikhuatiri maut dan beribu-ribu lagi terpaksa berpindah apabila kebakaran hutan mengganas di pulau Tasmania, Australia dan memusnahkan sekurang-kurangnya 80 bangunan.
Kebakaran yang merebak sejak semalam itu berlaku ketika negara ini mengalami musim panas melampau dengan Tasmania yang dikenali dengan iklim sejuknya, merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Satu daripada kawasan yang paling terjejas teruk ialah bandar kecil Dunalley, kira-kira 55 kilometer ke timur Hobart.
Polis menganggarkan, kira-kira 30 peratus bangunan termasuk balai polis dan sekolah musnah.
Di kawasan berhampiran Connellys Marsh pula, kira-kira 40 peratus bangunan hangus terbakar.
Menurut polis, seorang anggota bomba terperangkap dalam kebakaran hutan di Dunalley semalam, lokasi yang dipercayai tempat seorang lelaki turut maut.
"Mereka terpaksa berlindung di dalam jentera bomba ketika api sedang marak dan mangsa selepas itu tidak kelihatan.
"Akibat keadaan yang tidak selamat, kami tidak dapat membantu mereka," kata pemangku Pesuruhjaya Polis Scott Tilyard.
Seorang penduduk Dunalley, Tony Young memberitahu Australian Broadcasting Corporation, beliau menyedari tentang kebakaran serius itu selepas melihat asap hitam dan helikopter berterbangan di ruang udara pulau itu.
Di Semenanjung Tasman, timur Hobart pula, sebanyak 2,000 orang berlindung di bandar Nubeena sepanjang malam tadi, manakala lebih 700 lagi mendapatkan perlindungan di kawasan berhampiran tapak bersejarah Port Arthur.
Penduduk turut berpindah ke pusat perlindungan kecemasan di Hobart. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130106/lu_03/Satu-maut-ribuan-pindah-kebakaran-hutan-di-Tasmania#ixzz2HCRujBw6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment