Zakuan
Zakuan memohon bantuan perumahan, bagi keperluan isteri dan tiga anaknya yang masih kecil.
PASIR MAS – Seorang buruh di Kampung Kedondong terpaksa tidur ruang kecil di bahagian dapur, selepas rumah pusaka yang diduduki roboh dua minggu lalu.

Ahmad Zakuan Hamat, 40, berkata, tiga anak berusia lima bulan hingga 13 tahun bersama isterinya, terpaksa menumpang di rumah ibu mentuanya buat sementara waktu.

Menurutnya, hanya ruang dapur tidak mengalami sebarang kerosakan, selebihnya tidak dapat digunakan kerana ditutupi kayu dan bumbung.

“Saya terpaksa tidur beralaskan kain tebal kerana semua perabot dan barangan elektrik tidak dapat diselamatkan.

“Berbekalkan gaji kerja sebagai buruh, ia mungkin memakan masa bertahun membina semula rumah pusaka ini,” katanya.

Selain keperluan harian, Zakuan berkata, dia terpaksa membahagikan pendapatan bulanannya untuk persekolahan anak sulungnya.

Katanya, sebahagian barangan persekolahan anaknya tidak dapat diselamatkan, namun bersyukur kerana anaknya memahami kejadian yang berlaku.

Selepas kejadian ini katanya, dia terpaksa melakukan dua kerja sehari, buruh pada waktu pagi manakala bersawah di waktu petang.

Menurutnya, dia memohon agar bantuan perumahan dapat disediakan, memandangkan kejadian terdahulu hampir meragut nyawa anak bongsunya.

“Selepas apa yang berlaku, saya tidak mahu ambil risiko dan meletakkan keselamatan keluarga saya di tempat bahaya,” katanya.

Dalam kejadian ini, anak bongsu Zakuan, Muhamad Afiq Zafran berusia lima bulan, hampir maut apabila kayu bumbung di ruang tamu rumahnya roboh, awal bulan ini.