Search This Blog

Thursday, January 31, 2013

Rogol: Bekas tentera kekal penjara 20 tahun, tujuh sebatan



31 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan yang dikenakan terhadap bekas anggota tentera yang didakwa merogol seorang kerani selepas melanggarnya dengan sebuah kereta, dua tahun lepas.
 
Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak rayuan tertuduh, Che Mohd Sufian@Che Bastian Che Rashid, 31, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen di sini selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu di akhir kes pembelaan.
 
Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya P.Viknesvaran dan peguam Adenan Ismail.
 
Amelia, dalam penghakimannya berkata Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid tidak terkhilaf ketika mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapi dan menjatuhkan hukuman terhadapnya pada 13 Dis 2011.
 
Beliau berkata faktor mitigasi yang dikemukakan Adenan bahawa anak guamnya kehilangan pekerjaan setelah disabitkan bersalah bukanlah faktor mitigasi yang diambil kira mahkamah kerana ia adalah akibat perbuatan yang dilakukannya sendiri.
 
Tertuduh didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di sebuah rumah di Jalan AU 25/26, Ampang antara 7.20 pagi dan 8.30 pagi, 20 Nov 2011.
 
Berdasarkan perbicaraan kes, ketika mangsa sedang berjalan di Jalan Gurney untuk ke tempat kerja, tiba-tiba dia dilanggar sebuah kereta milik tertuduh dan kemudian mangsa jatuh lalu tertuduh mempelawa untuk membawanya ke hospital.
 
Namun, mangsa tidak dibawa ke hospital sebaliknya dibawa ke rumah tertuduh.
 
Sejurus tiba di rumah itu, tertuduh membenamkan muka mangsa di atas tilam dan mengikat tangan mangsa ke belakang dengan menggunakan pita pelekat lalu merogolnya.

Pada 7 Ogos tahun lepas tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi mengurangkan hukuman. - Bernama

No comments:

Post a Comment