Search This Blog

Friday, January 18, 2013

Polis tahan lelaki disyaki perdaya wanita dengan tawaran peluang berlakon



SHAH ALAM - Polis menahan seorang pemuda yang disyaki telah memperdaya gadis-gadis termasuk gadis bawah umur kononnya untuk ditemuduga sebagai pelakon pembantu sebelum mencuri barangan berharga mereka, pada 9 Jan lepas di Kluang, Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata suspek berusia 22 tahun yang mendakwa sebagai kakitangan sebuah syarikat media itu menggunakan laman sosial untuk mencari mangsanya untuk mengatur pertemuan sebelum melakukan jenayah.

Hasil siasatan polis pemuda itu disyaki terlibat dalam tujuh kes di Selangor sejak 2008, antaranya melarikan gadis bawah umur, mencuri, merogol gadis bawah umur, pecah rumah dan menyamun sejak 2008, katanaya dalam sidang media di sini hari ini.

Suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan telah dibawa ke Kajang untuk siasatan berhubung beberapa kes yang dilaporkan di daerah itu, katanya.

Pada 18 Dis lepas, satu laporan polis dibuat terhadap suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang kerana dituduh mencuri beg tangan dan barang-barang berharga milik seorang gadis berumur 16 tahun yang datang bertemu dengan suspek kononnya untuk ditemuduga sebagai pelakon tambahan di Kajang.

Mohd Adnan berkata polis percaya lelaki itu bergerak secara berseorangan dan ramai lagi gadis yang telah menjadi mangsanya tetapi belum tampil membuat
laporan. - Bernama

No comments:

Post a Comment