Polis cari saksi kemalangan langgar lari babit dua mangsa OKU
Mangsa kemalangan maut di KM 125 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, Ahmad Kamil Talib meninggal dunia di Hoshas, petang kelmarin.
BANDAR TEMERLOH - Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dua kes langgar lari yang berlaku di daerah ini membabitkan dua kematian orang kurang upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kes pertama yang berlaku 29 Disember lalu, seorang penunggang basikal maut dilanggar sebuah kenderaan lain ketika cuba melintas jalan di Kilometer 125 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berhampiran jambatan Temerloh.

Menurutnya, mangsa yang maut, Ahmad Kamil Talib, 50, dikenal pasti sebagai OKU mental tinggal di Kampung Tebal, Seberang Temerloh.

“Kejadian berlaku ketika mangsa menunggang basikal dari rumah adiknya di Taman Dahlia, di sini, untuk pulang ke rumahnya kira-kira jam 10 malam.

“Setiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan telah melanggar mangsa. Mangsa yang cedera kemudian pulang sendiri ke rumah dan memberitahu ahli keluarganya dia terlibat kemalangan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) oleh ahli keluarganya tetapi pada 3 Januari lalu, dia disahkan meninggal dunia,” katanya pada sidang media semalam.
Sehubungan itu Abdul Aziz meminta orang ramai atau saksi kejadian tampil membantu polis melengkapkan siasatan dengan menghubungi Inspektor Shaari Mat Ibrahim di talian 019-9522476.

Sementara itu dalam satu lagi kes, seorang OKU pekak dan bisu berketurunan India maut selepas dilanggar sebuah kenderaan lain ketika berjalan kaki di Kilometer 9 Jalan Triang- Temerloh pada 30 Disember lalu.

Abdul Aziz berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 9 malam berhampiran Kampung Tebing Tinggi, Lebak, di sini.

Menurutnya, kemalangan disedari seorang pengguna jalan raya lain apabila ternampak mangsa dalam keadaan cedera parah terbaring di tengah jalan.

“Lelaki terbabit memberhentikan kenderaannya dan menghubungi ambulans sebelum mangsa dibawa ke Hoshas,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mangsa yang tidak mempunyai identiti berusia sekitar 50-an meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi, 31 Disember lalu.

“Polis menggesa saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Inspektor Faiz di talian 012-8938295.
“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.