Search This Blog

Tuesday, January 1, 2013

Perut melecur disimbah sup


KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 32 tahun melecur teruk di perut selepas disimbah sup panas oleh isteri majikannya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Cheras, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, wanita berusia lewat 30-an itu bertindak demikian kerana tertekan dengan masalah dihadapinya di pejabat sebelum menjadikan pembantu rumah terbabit sebagai tempat melepaskan geram.

Biarpun mengalami kecederaan, mangsa tidak dibenarkan keluar dari rumah, namun dapat meloloskan diri jam 8 pagi sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, kelmarin.
Sumber berkata, kejadian berlaku pada Sabtu lalu jam 8 malam apabila isteri majikannya itu memintanya memasak sup.

“Selepas menyiapkannya, mangsa segera menghidangkan makanan berkenaan di meja makan di dapur sebelum isteri majikannya itu mengambil dan menyimbahnya ke perut mangsa.

“Mangsa dilaporkan menggelupur menahan kesakitan sebelum majikannya itu memberikan minyak untuk disapu,” katanya.
Sumber berkata, biarpun cedera, majikannya itu enggan membenarkan mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan majikannya itu segera bertanyakan punca tindakannya sebelum diberitahu majikannya itu tertekan dengan masalah di tempat kerja,” katanya.
Katanya, ketika majikannya keluar bekerja, mangsa menggunakan kesempatan itu melarikan diri jam 8 pagi, kelmarin.

Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi.

Difahamkan, selepas keterangan pembantu rumah itu dirakam pihak berkuasa, dia dihantar ke kedutaan untuk perlindungan.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment