Peruncit kena rompak naik angin
Kereta dipandu Chee Seong remuk bahagian depan.
Peruncit kena rompak naik angin
Chee Seong melakonkan semula detik cemas ketika diacukan pisau
ALOR GAJAH - Berang dengan tindakan dua perompak mengugut menggunakan sebilah pisau dan melarikan wang perniagaan sebanyak RM1,000, seorang peniaga kedai runcit nekad mengejar penjenayah terbabit sejauh kira-kira tiga kilometer dengan kereta Proton Iswara miliknya.

Insiden mengejar itu bagaimanapun berakhir apabila peniaga berkenaan terlibat kemalangan kecil.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin, apabila kedai milik Soh Chee Seong, 40, di pekan Masjid Tanah, di sini didatangi dua perompak.

Chee Seong berkata,  sebelum kejadian, dia sedang menikmati makan malam bersama isteri, Pang Moi Chu, 42, di kaunter kedai. Kemudian dua lelaki datang berpura-pura mahu membeli rokok.
“Ketika isteri saya tunduk untuk mengambil rokok, seorang daripada lelaki itu meluru laju ke arah saya dan mengacukan sebilah pisau Rambo di tengkuk saya menyebabkan isteri saya menjerit ketakutan," katanya.

Katanya, isterinya turut ditolak sehingga jatuh, sebelum mereka sempat merentap tujuh kotak rokok dan telefon bimbit yang berada di sebelah mesin kaunter, dan bergegas keluar menuju ke arah sebuah kereta.

Chee Seong berkata, menyedari dua perompak itu baru masuk dalam kereta, dia bertindak pantas mencapai kunci kereta dan mengejar kereta jenis Proton Wira dinaiki penjenayah terbabit.

“Sebaik berjaya mengenal pasti kereta penjenayah itu, saya segera mengekori rapat di belakangnya sebelum memotong di sebelah kiri dan menghimpit keretanya, terus merempuh bahagian pintu sebelah penumpang.

“Marah dengan tindakan saya, penjenayah itu mengeluarkan pisau sambil menunjuk ke arah saya, seolah-olah mengugut bunuh jika terus mengekori mereka, sebelum mereka melemparkan pisau itu ke tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, ketika pisau berkenaan dilempar, ia terkena pada seorang penunggang motosikal, bagaimanapun dia sempat mengelak dan memberhentikan motosikalnya.

“Perompak berkenaan memandu laju dan saya terus mengejar sebelum merempuh bahagian belakang kereta menyebabkan bahagian depan kereta saya remuk. Disebabkan itu saya terpaksa biarkan sahaja kereta itu memecut laju ke arah Sungai Udang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.