Search This Blog

Friday, January 18, 2013

Perhebat banteras penipuan bida tender



Kuala Lumpur: Suruhanjaya Persaingan (MyCC) akan memperhebat usaha penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras aktiviti penipuan bida atau ‘bid rigging’ di kalangan syarikat yang bersaing untuk mendapatkan tender.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shila Dorai Raj berkata, ini memandangkan kegiatan itu memberi kesan buruk kepada ekonomi negara menyebabkan peningkatan harga barangan daripada sepatutnya.


Beliau berkata, ini sekali gus membebankan pembayar cukai apabila terpaksa membayar harga tinggi untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan.

“Amaran sudah banyak kali diberi, tapi seperti yang kita lihat dalam media, sektor swasta masih tidak faham implikasi (Akta Suruhanjaya Persaingan 2010) ini,” katanya selepas majlis perasmian pejabat MyCC di sini, semalam.


Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.


Hadir sama, Pengerusi MyCC Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Shila berkata, penipuan bida bukanlah perkara baru memandangkan kebanyakan negara berdepan masalah sama.


“Contohnya syarikat A,B,C memasuki sesuatu tender projek tetapi A dan B berpakat untuk menawarkan sebut harga lebih tinggi menyebabkan C dengan sebut harga rendah meraih tender itu.

“Jika didakwa dan didapati bersalah, syarikat itu boleh dikenakan penalti antara 1 dan 10 peratus daripada keuntungannya mengikut Akta Suruhanjaya Persaingan 2010,” katanya.

No comments:

Post a Comment