Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

Penyamun cuba langgar polis terjunam dalam longkang



Gombak: Usaha dua lelaki dipercayai anggota geng samun cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal seorang anggota polis gagal apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam longkang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin di Taman Selasih itu, polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah tayar kereta suspek menyebabkan kereta berkenaan terbabas sebelum kedua-duanya diberkas.


Sebelum itu, suspek masing-masing menaiki kereta Proton Wira dan Proton Satria dilihat berada di tepi taman permainan itu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah berkata, lima anggota polis yang bertugas di Balai Polis Gombak bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam.


Beliau berkata, menyedari kehadiran anggota polis, suspek cuba melarikan diri dan seorang daripadanya mengundurkan kereta serta melanggar motosikal anggota polis, bagaimanapun dia sempat mengelak.


“Ekoran tindakan suspek itu, anggota berkenaan melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek, tetapi tidak kena. Bagaimanapun, kereta berkenaan terbabas dan kedua-duanya dapat diberkas,” katanya.

Katanya, suspek pertama bekerja sebagai penjual sayur dan mempunyai empat rekod jenayah dikehendaki bersabit pelbagai kes manakala rakannya pula seorang mekanik dengan dua rekod jenayah lampau.


“Kedua-dua suspek berusia 30-an dan siasatan lanjut mendapati kereta Proton Satria berkenaan ada kaitan dengan satu laporan polis di Setapak manakala Proton Wira pula dikatakan milik suspek,” katanya.

Menurut Abd Rahim, pemeriksaan di dalam kedua-dua kereta berkenaan menemui kekunci allen yang tajam di bahagian hujung dipercayai untuk kegiatan jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

No comments:

Post a Comment