Search This Blog

Tuesday, January 1, 2013

Penjenayah kembali 20 hari larikan kunci




         
JOHOR BAHRU: Sekumpulan enam penjenayah melarikan kenderaan Mazda 2 dan Mazda 3 bernilai kira-kira RM200,000, dari sebuah pusat pameran kereta di Jalan Masai Jaya 1, Plentong, di sini, Khamis lalu, selepas kira-kira 20 hari mereka melarikan kunci pendua kereta berkenaan.

Difahamkan, pada 7 Disember lalu, penjenayah sama dikatakan memecah masuk pusat servis bersebelahan pusat pameran itu dan melarikan empat kunci pendua kenderaan itu serta beberapa peralatan lain. Mereka dikatakan menunggu masa sesuai dan sebaik menyedari kereta mewah itu belum dialihkan, mereka memecah semula premis berkenaan dan melarikan kereta menggunakan kunci pendua yang dilarikan sebelum ini.


Kejadian itu mengakibatkan Pengarah Syarikat Rias Auto Sdn Bhd, Mohamed Rasul Ahmad, 50, kerugian kira-kira RM200,000 selepas penjenayah terbabit melarikan masing-masing sebuah kereta Mazda 2 dan Mazda 3 diletakkan di pusat pameran itu.

Mohamed Rasul berkata, kejadian kali kedua berlaku dalam bulan sama itu menyebabkannya kerugian kira-kira RM672,000.


“Kejadian berlaku pada jam 5.40 pagi disedari pengurus syarikat yang memaklumkan pusat pameran kami dipecah lagi dan dua daripada tiga kereta dilarikan.


“Mujurlah sebuah lagi kereta Mazda di pusat pameran itu tidak mempunyai bateri menyebabkan penjenayah tidak dapat menghidupkan enjinnya.

“Saya yakin enam penjenayah yang melakukan rompakan ini adalah penjenayah sama dalam kejadian sebelum ini yang melarikan empat kunci pendua kenderaan terbabit,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.


Menurut Mohamed Rasul, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat pameran itu mendapati enam lelaki bersenjatakan parang dan kayu memecah masuk pusat terbabit sebelum membawa keluar dua kereta berkenaan.

“Pada jam 5.40 hingga 6.10 pagi, sebuah kereta berjaya dibawa keluar, manakala kereta kedua dilarikan pada jam 6.35 pagi sebelum kesemua mereka yang pada mulanya menaiki van melarikan diri.


“Saya berharap pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian ini kerana ia berlaku dalam tempoh sebulan. “Saya juga membuat laporan polis berhubung kejadian ini di Balai Polis Johor Jaya beberapa jam selepas kejadian,” katanya.


Pada 11 Disember lalu, Harian Metro melaporkan, sekumpulan penjenayah bertindak pelik apabila hanya melarikan empat kunci pendua kereta Mazda 2 dan 3, ketika memecah masuk sebuah pusat servis kereta di Jalan Masai Jaya 1, Plentong, di sini, pada 7 Disember lalu.


Lebih pelik apabila penjenayah terbabit tidak melarikan empat kereta Mazda di pusat pameran bersebelahan pusat servis berkenaan.


Keadaan itu mungkin disebabkan pencuri berkenaan mungkin kembali semula untuk mencuri empat kereta terbabit membabitkan nilai RM472,000.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abdul Hamid mengesahkan laporan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment