Search This Blog

Wednesday, January 16, 2013

Penjaga stor ditemui mati dibunuh



KOTA SAMARAHAN 15 Jan. - Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan tertiarap di stor simpanan sebuah tapak pembinaan di Taman Samarindah di sini dipercayai dibunuh dalam kejadian samun.
Mayat Tan Hong Pheng, 62, yang bertugas sebagai penjaga stor berkenaan ditemui penyelianya dengan kesan jerutan di leher serta cedera parah di kepala dan badan kira-kira pukul 7.25 pagi ini.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Mohd. Ibrahim Jalaluddin, mangsa yang mengawal stor tersebut bersendirian dipercayai mati selepas dijerut menggunakan tali nilon.
Selain itu, kata beliau, kepala mangsa turut dipukul dengan objek tumpul serta dihentak ke dinding berulang kali.
"Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya mangsa dibunuh antara pukul 1 hingga 2 pagi, iaitu semasa suspek cuba menyamun stor tersebut.
"Kita juga percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek serta tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang suspek," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Ibrahim dalam pada itu berkata, selain peralatan pembinaan seperti besi cerucuk dan simen, barangan peribadi milik mangsa seperti dompet, televisyen serta beberapa peralatan elektrik lain turut disamun.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat," katanya.
Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana samun dan bunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130116/je_05/Penjaga-stor-ditemui-mati-dibunuh#ixzz2I9XsNiiZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment