Search This Blog

Thursday, January 31, 2013

Penjaga premis, lapan lelaki disyaki terbabit judi tanpa lesen




Johari (kanan) dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Rompin, Asisten Superintendan, Mohd Razali Razak menunjukkan sebahagian daripada komputer yang dirampas pihaknya
ROMPIN – Seorang penjaga premis dan lapan lelaki ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti judi tanpa lesen di sebuah premis di simpang Jalan Bahau, Bandar Tun Razak, di sini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, dalam serbuan jam 9 malam itu, kesemua suspek termasuk penjaga premis berusia 23 tahun itu berada di dalam premis tersebut.

Menurutnya, polis turut merampas sebanyak 23 unit komputer yang diubah suai bagi kegiatan itu dan wang tunai sebanyak RM657 yang dipercayai hasil pertaruhan kegiatan judi tanpa lesen tersebut.

“Polis telah menyerbu premis terbabit dan menahan lapan lelaki berusia lingkungan 30-an yang sedang leka berjudi di premis terbabit.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 4B Akta Rumah perjudian Terbuka 1953 iaitu jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, premis yang berselindung di sebalik kafe siber itu sudah empat kali diserbu sepanjang bulan ini, selain pihaknya turut merampas beberapa barangan yang digunakan bagi menjalankan kegiatan itu.

“Sehingga semalam, kami sudah menjalankan rondaan sebanyak 14 kali di premis itu, namun hanya empat kali saja premis itu dipercayai beroperasi dan kami telah berjaya menahan kesemua mereka yang terlibat,” katanya.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 14 orang termasuk lima pekerja premis ditahan dalam serbuan yang dijalankan sebelum ini.

“Sebanyak 40 unit komputer juga dirampas sepanjang operasi itu dan polis bertegas dalam hal ini selain akan memerangi kegiatan itu habis-habisan dalam usaha melumpuhkan kegiatan itu pada masa akan datang,” katanya.

Bagi melumpuhkan kegiatan itu katanya, polis turut menghantar surat kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya melaksanakan pemotongan bekalan elektrik terhadap mana-mana premis yang masih berdegil menjalankan kegiatan itu.

“Operasi membanteras kegiatan judi akan digiatkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenainya dan menutup ruang bagi remaja yang baru menceburi kegiatan tidak bermoral berkenaan,” katanya.

Johari berkata, hasil penelitiannya juga mendapati hanya sebuah pusat perjudian saja yang masih aktif di sekitar Bandar Tun Razak dan kawasan berhampiran, manakala selebihnya dipercayai telah ditutup.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 200 peneroka dan generasi kedua mengadakan perhimpunan aman di perkarangan Masjid Felda Keratong 2 di sini, bagi mendesak pihak berkuasa menutup empat premis judi yang beroperasi di sekitar kawasan berkenaan.

Difahamkan dua premis judi dibuka di Felda Keratong 2, manakala dua buah lagi beroperasi di perkampungan Orang Asli Bukit Serok dan persimpangan Melati.

Keempat-empat premis itu dipercayai sudah pun beroperasi sejak lebih setahun lalu dan apa yang dikesali penduduk, kegagalan pihak berwajib untuk mengambil sebarang tindakan walaupun telah banyak aduan dibuat berhubung kegiatan haram itu.

No comments:

Post a Comment