Peniaga kedai makan bengang
Sagar menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jasin.
JASIN - Seorang peniaga kedai makan bukan Islam di Bandar Jasin, di sini, kesal kerana Jabatan Agama Islam (Jaim) didakwa tidak membenarkannya menjual makanan kepada orang Islam ketika Operasi Bersepadu Penggunaan Logo Halal Bagi Restoran Mamak, kelmarin.

Peniaga berkenaan, P.Sagar, 51 berkata, sejak memulakan perniagaan 12 tahun lalu, ini pertama kali dia menerima teguran larangan untuk tidak membenarkan pelanggan beragama Islam membeli makanan di kedainya.

Menurutnya, lebih kurang 40 peratus pelanggannya adalah orang Islam dan melalui perniagaan makanan itu dia menyara keluarga termasuk tiga anaknya yang masih bersekolah.

“Mereka datang dan beritahu saya tak boleh jual makanan dengan orang Islam, kalau nak jual pun hanya gula-gula serta air tin sahaja.

“Sebagai peniaga saya tidak boleh menghalang siapa pun pelanggan saya sama ada Islam mahupun sebaliknya dan saya memang tidak berpuas hati serta terkilan dengan perbuatan pegawai dari jabatan itu,” katanya.

Sagar berkata, sebelum ini dia pernah memohon untuk mendapatkan logo persijilan halal namun disebabkan proses yang terlalu rumit, dia terpaksa membatalkan niatnya itu.

“Selepas insiden itu saya akan berusaha juga mendapatkan logo halal biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai prosedur supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi kepada saya demi menjaga periuk nasi dan imej kedai,” katanya yang membuat laporan polis berhubung ketidakpuasan hati terhadap pegawai Jaim.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani, berkata, apa yang berlaku disebabkan salah faham dan berharap perkara itu tidak dipanjangkan atau disalah tafsirkan.

Menurutnya, pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang peniaga bukan Islam menjual makanan atau minuman kepada orang Islam.

"Memandangkan kedai berkenaan didatangi pelanggan Islam, disarankan pemilik kedai mendapatkan sijil halal bagi memberi jaminan sekali gus memastikan hidangan disajikan tidak menimbulkan keraguan terutama kepada pelanggan Islam.

“Hanya salah faham dan terpulang kepada orang Islam untuk pergi ke kedai mana termasuk bukan Islam namun, peniaga perlu mementingkan sijil halal dan kita tidak pernah menghalang, " katanya.

Rahimin berkata, disebabkan itu pihaknya menekankan supaya peniaga bukan Islam mendapatkan sijil halal dan sijil itu bukan hanya untuk pelanggan Islam sahaja,  tetapi ia juga dapat menarik lebih ramai pelanggan ke kedai mereka.