Search This Blog

Saturday, January 5, 2013

Penduduk bimbang tembok rumah runtuh



HARUN Hanafiah melihat kesan runtuhan tebing rumahnya Kampung Rambong Batu 7, Baling, semalam.
BALING 4 Jan. - Seorang penduduk terkejut apabila sebahagian tembok penghadang rumahnya runtuh dan terhumban ke dalam parit di Kampung Rambong. Batu 7, di sini hari ini.
Selepas kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, Harun Hanafiah, 57, dan keluarganya kini bertambah risau jika berlaku lagi runtuhan di tebing parit itu hingga melibatkan ruang dalam rumah pula.
"Sehari suntuk saya tidak dapat tidur kerana memikirkan keselamatan saya dan keluarga. Saya risau sekiranya runtuhan tebing menjadi lebih teruk," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, semasa kejadian, dia bersama tiga ahli keluarganya sedang tidur dan tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan kuat sebelum bergegas ke luar rumah untuk melihat bunyi runtuhan itu.
"Saya terkejut setelah mendapati tembok penghadang runtuh ke dalam parit," katanya sambil menambah itu adalah kejadian kedua selepas 22 November lalu.
Sebelum ini, Harun berkata, kejadian sama berlaku sehingga meruntuhkan jambatan parit yang kemudiannya telah dibaik pulih oleh pihak berwajib.
"Namun, saya tidak menyangka kejadian sama akan berulang tahun ini. Kali ini lebih teruk kerana melibatkan struktur kediaman rumah," katanya.
Katanya, kejadian tebing runtuh ini dipercayai berpunca daripada aliran air yang deras berikutan hujan lebat sejak kebelakangan ini.
"Tidak mustahil, tebing ini akan terus terhakis sekiranya tidak mempunyai tindakan segera daripada pihak berkenaan," ujarnya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Hussin berkata, pihaknya memandang serius tentang kejadian tebing runtuh di daerah ini dan beliau akan cuba mencari penyelesaian segera bagi memastikan tidak berulang.
"Kita kena mencari langkah untuk jangka masa panjang, bukannya sekadar membaik pulih kawasan yang terlibat dalam kejadian ini," katanya semasa melawat lokasi kejadian.
Hadir sama Pegawai Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Sik/Baling, Nazatul Azni Hamzah.
Menurut Nazatul, mesyuarat pelaksanaan yang dipengerusikan oleh ICU akan dilakukan secepat mungkin bagi membincangkan masalah berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130105/wu_01/Penduduk-bimbang-tembok-rumah-runtuh#ixzz2H6TH705I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment