Search This Blog

Saturday, January 5, 2013

Pemuda berubah sikap menghilang diri




         
MUAR: “Aizuddin mula berkelakuan aneh selepas dia mendalami ilmu keagamaan di sekitar Johor Bahru ketika bekerja di sebuah syarikat swasta awal tahun lalu.

“Sejak itu, mentalnya mula terganggu dan kami sekeluarga sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk merawatnya namun gagal sehinggalah dia menghilangkan diri dari rumah dua bulan lalu,” kata Ishak Yunos, 56, bapa kepada Aizuddin, 25, di sini, semalam.


Menurut Ishak, anak ketiga daripada empat beradik yang berkelulusan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu seorang anak yang baik dan mendengar kata namun berubah sikap dipercayai akibat gangguan makhluk halus.

Katanya, pada pagi 7 Oktober lalu, Aizuddin keluar dari rumah mereka di Taman Temenggong Ahmad seorang diri dengan menunggang motosikal dan hanya membawa dompet berisi kad mesin juruwang automatik (ATM) serta lesen memandu.


“Kami sekeluarga sangka dia keluar bertemu rakan namun terus menghilangkan diri. Hasil semakan terhadap akaun banknya, kami dapati ada pengeluaran dilakukan melalui ATM di Bahau, Negeri Sembilan pada 19 November lalu.


“Selepas itu, tiada transaksi dibuat dan kami bimbang dengan keselamatannya, kami sudah melaporkan kejadian kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, mengadakan solat hajat selain tahlil namun dia masih gagal dikesan,” katanya.

Mengulas berkaitan keadaan anaknya sebelum ini, Ishak berkata, sejak Januari hingga Mac lalu, keadaan Aizuddin semakin teruk dan mereka sudah membawanya berubat sama ada secara tradisional atau moden. Bagaimanapun, keadaan Aizuddin tidak berubah malah lelaki berkenaan pernah melompat keluar daripada kereta ketika dibawa untuk menjalani rawatan perubatan Islam di sebuah pusat rawatan di Lembah Klang.

No comments:

Post a Comment