Search This Blog

Thursday, January 17, 2013

Pekerja ladang ditahan miliki enam peluru hidup



LEDANG - Gara-gara memiliki enam butir peluru hidup, seorang pekerja ladang ditahan dalam operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di Jalan Payamas, Tangkak, di sini, akhir bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun itu ditahan dalam sebuah teksi yang dipercayai dalam perjalanan dari Segamat menuju Tangkak.

Menurutnya, lelaki itu yang didapati dalam keadaan mencurigakan mendorong polis membuat pemeriksaan lanjut.

“Hasilnya, sebungkus plastik mengandungi enam butir peluru hidup dijumpai dalam poket jaket yang dipakainya.

“Pekerja ladang berkenaan menetap di negara ini sejak Ogos 2011, namun ketika ditahan dia gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, polis tidak menolak kemungkinan peluru itu digunakan untuk menembak binatang buruan di ladang milik majikannya.

Lelaki itu boleh didakwa mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara  tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000.

No comments:

Post a Comment