Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

Pekerja kontrak lari



Gelang Patah: Kemalangan yang mengakibatkan seorang lelaki maut hingga kepalanya hampir putus di Kilometer 22, Jalan Gelang Patah-Pendas, di sini, semalam dipercayai berpunca daripada kontraktor pembinaan yang yang gagal mengambil tindakan selepas tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) Bhd condong.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa, M Ganesan, 24, menunggang motosikal Yamaha LC 135 dan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Singapura, maut di tempat kejadian selepas urat leher terputus selepas kepalanya tersangkut pada wayar elektrik terbabit.


Manakala, pembonceng motosikal yang juga rakan mangsa, L Subramaniam, 25, cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Pengurus Besar TNB Johor Mohd Aminuddin Mohd Amin ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati, tiang berkenaan sebahagiannya tumbang akibat kerja tanah yang dijalankan di tepi jalan dan tiang itu adalah tiang konkrit dan ia mempunyai dawai umbang yang merentangi jalan.


“Difahamkan, kontraktor terbabit menyedari keadaannya namun lambat mengambil tindakan dan kami juga difahamkan pekerja kontrak di situ melarikan diri sejurus kejadian,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan melaporkan kejadian kepada polis dan ketika ini pihak kontraktor gagal memaklumkan berkaitan kejadian kepada pihaknya.

“Kejadian berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku selepas mangsa terlanggar wayar elektrik yang merentangi jalan akibat kecondongan tiang itu.

Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk bedah siasat. Siasatan awal mendapati, keadaan jalan lurus, rata serta mempunyai garisan putih berkembar,” katanya.

No comments:

Post a Comment