Search This Blog

Monday, January 28, 2013

Pecah masuk rumah larikan BMW



Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 30-an kerugian lebih RM380,000 apabila kereta BMW miliknya dilarikan sekumpulan empat penjenayah bersenjatakan pistol dalam kejadian di rumahnya di Wangsa Murni, di Wangsa Maju, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, dua daripada empat penjenayah berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun itu dilaporkan memecah masuk ke rumah mangsa bagi mengambil kunci kereta mewah itu sebelum melarikannya.


Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang juga peniaga itu sedang tidur di biliknya sebelum terjaga apabila terdengar bunyi bising di hadapan rumahnya.

“Mangsa kemudian keluar untuk melakukan pemeriksaan sebelum terserempak dengan dua lelaki yang sedang mengambil kunci rumah, kunci kereta dan barangan berharga yang berada di ruang tamu rumahnya.


“Dua suspek yang menyedari kehadiran mangsa kemudiannya bergegas keluar daripada rumah berkenaan,” katanya.


Sumber berkata, mangsa memberanikan diri untuk melihat di kawasan luar rumah sebelum mendapati dua lagi rakan suspek sedang menunggu di dalam kereta.

“Menurut mangsa, seorang daripada suspek dilihat memegang senjata seperti pistol menyebabkannya ketakutan sebelum mendiamkan diri,” katanya.


Katanya, kesempatan itu digunakan kumpulan penjenayah berkenaan untuk melarikan kereta mewah milik mangsa.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

No comments:

Post a Comment