Padah menyamar vendor syarikat rokok
Mohd Affendy (tengah) diiringi polis sewaktu keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Padah menyamar sebagai vendor sebuah syarikat rokok terkenal bagi memperdayakan mangsanya, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 14 bulan, dua sebatan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.
Tertuduh, Mohd Affendy Arriffin, 37, dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan dan satu sebatan serta denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Bagi pertuduhan kedua di bawah seksyen yang sama, dia dipenjarakan 12 bulan dan satu sebatan serta denda RM1,000. Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh mengaku sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Dia juga mohon mahkamah meringankan hukumannya memandangkan isterinya tidak bekerja dan anak-anaknya masih kecil.
Majistret kemudiannya membacakan penghakimannya dan berkata, hukuman terhadap tertuduh berjalan serentak.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu Sabirah Salleh, 26, pada 18 Disember 2009 kira-kira jam 11.45 pagi, dengan memperdayakan pengadu bahawa dia adalah vendor rokok jenama terkenal.
Tertuduh mengambil 65 kotak yang setiap satunya mengandungi 20 batang rokok dan sebanyak 32 kotak yang setiap satunya mengandungi 14 batang rokok dan berjanji akan digantikan dengan rokok jenama sama yang baru.
Bagi pertuduhan kedua pula, pada 22 Disember 2009, kira-kira jam 5 petang bertempat di kedai runcit, tertuduh telah menipu Nor Ain Fatihah Jusoh, 20, dengan memperdayakannya bahawa dia sebagai vendor rokok jenama tersebut.
Dia mengambil 23 kotak yang setiap satunya mengandungi 14 batang rokok dan berjanji akan digantikan dengan rokok yang baru, sehingga mendorong Nor Ain untuk menyerahkan barangan berkenaan