Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Nur Effa dipercayai mangsa bunuh



Mohd. Shafie Apdal berkata sesuatu kepada ibu bapa Allahyarham Nur Effa, Ringkasan Muksan (tengah) dan Norliana Killo (dua dari kiri) ketika menziarahi keluarga itu di Kampung Salimbangun, Semporna, Sabah, malam tadi. - MINGGUAN/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
SEMPORNA 5 Jan. - Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang ditemui mati dalam tong dram kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Salimbangun di sini kelmarin adalah mangsa bunuh.
Keyakinan ini berdasarkan siasatan polis yang curiga bagaimana mangsa, Nur Effa Sahira Ringkasan boleh berada di lokasi mayatnya ditemui dan mampu memasuki tong dram itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke dalam tong tersebut.
Menurutnya, polis meragui bagaimana mangsa mampu berjalan seorang diri ke lokasi kejadian yang bukan merupakan kawasan permainan.
"Kita turut meragui keupayaan kanak-kanak kecil memasuki sendiri tong dram itu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Misteri kehilangan Nur Effa Sahira sejak enam hari lalu akhirnya terjawab apabila mayat mangsa ditemui dalam sebuah tong dram kira-kira 500 meter dari rumahnya kelmarin.
Mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik dilaporkan hilang sejak Isnin lalu selepas keluar bermain.
Mayatnya ditemui penduduk kampung kira-kira pukul 1 petang dalam sebuah tong dram di ladang sawit tidak jauh dari rumahnya.
Menurut Mohd. Firdaus, mangsa yang berpakaian lengkap ditemui tersembam mukanya dalam tong dram itu yang turut berisi air.
"Mayat mangsa yang mula mereput dihantar ke Hospital Semporna untuk bedah siasat," katanya.
Menurut beliau, keputusan bedah siasat dijangka diketahui Selasa depan selepas pihak Hospital Semporna mendapat bantuan pakar patologi dari Kota Kinabalu.
"Ketika ini, polis masih menyiasat punca kematian kanak-kanak ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkannya kepada polis," katanya.
Terdahulu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen Semporna meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat keluarga mangsa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130106/je_03/Nur-Effa-dipercayai-mangsa-bunuh#ixzz2HCYw0JEa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment