Nafi kasari wanita
Muhamad Saiful (dua, kanan) ketika dihadapkan ke mahkamah kali pertama pada 6 Disember lalu
SUNGAI PETANI – Seorang pembantu bengkel enggan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam atas kesalahan melakukan kekerasan terhadap seorang wanita hamil dalam kejadian di Taman Patani Jaya, 3 Disember tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Saiful Azuwan Sawai, 29, dituduh melakukan kekerasan jenayah terhadap wanita hamil tujuh bulan dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Muhamad Saiful didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 23 tahun kira-kira jam 2 petang di bahagian tangga rumah kedai di Taman Patani Jaya, Sungai Petani.

Akibat perbuatan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan.

Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin menetapkan 31 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd Nasir manakala tertuduh diwakili peguam dari T Jayaraj & Company.