Search This Blog

Monday, January 28, 2013

Misteri kematian William terjawab?

YAHAYA Ramli (kanan) meninjau kawasan longkang monsoon drain di Putra Heights dan Kampung Bukit Lanchong, semalam yang dipercayai menjadi punca kematian William Yau Zhen Zhong dihanyutkan ke Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor. - IHSAN CHINA PRESS
SUBANG JAYA 26 Jan. - Punca kematian William Yau Zhen Zhong yang mayatnya ditemui terapung di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kelmarin hampir terjawab selepas polis menemui petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun itu.
Ini berdasarkan penemuan sebuah lubang tidak bertutup di sebatang longkang aliran air hujan atau monsoon drain kira-kira 200 meter dari tempat kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Putra Heights, di sini pada 16 Januari lalu.
Arus longkang itu dikatakan mampu menghanyutkan objek berat kurang dari setengah jam sehingga ke Sungai Sireh di Pelabuhan Klang, tanpa sebarang sekatan jika hujan lebat.
Malah difahamkan, dua hari selepas kehilangan William iaitu pada 18 Januari, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat dan longkang itu sememangnya dipenuhi air.
Longkang sepanjang lebih 30 kilometer itu dikatakan terus membawa arus ke Sungai Sireh di Pelabuhan Klang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu terjatuh ke dalam longkang tersebut dan dihanyutkan sehingga mayatnya ditemui terapung di Pelabuhan Klang, kelmarin.
"Polis mengesan satu lubang pada sistem monsoon drain kira-kira 200 meter dari lokasi William hilang. Lubang itu mampu mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja yang terjatuh.
"Kemungkinan mangsa terjatuh dan dihanyutkan arus sungai tetap ada lebih-lebih lagi dua hari selepas mangsa hilang, Putra Heights dilanda hujan lebat dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sendiri mengesahkan jika kanak-kanak terjatuh, ia mampu dihanyutkan dengan laju," katanya.
Beliau sebelum itu melawat lokasi kanak-kanak terbabit hilang di Putra Heights bersama 30 anggota polis dan kakitangan JPS.
Kanak-kanak malang itu hilang selepas keluar mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Rabu lalu.
Kehilangan anak kedua daripada tiga beradik selama sembilan hari itu terjawab apabila ibu bapanya mengesahkan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui di Jeti Sungai Sireh kelmarin adalah William.
Dalam perkembangan sama, Yahaya memberitahu, polis akan mengambil keterangan penduduk di sekitar Putra Heights dan Kampung Bukit Lanchong untuk mengetahui kemungkinan kanak-kanak itu boleh dihanyutkan sehingga ke Jeti Sungai Sireh.
"Faktor terjatuh dalam parit adalah antara yang sedang disiasat polis tetapi perkara ini masih terlalu awal untuk dibuat kesimpulan kerana kami sedang menyiasat melibatkan semua sudut," katanya.
Ditanya sama ada berlaku unsur jenayah dalam tragedi itu, Yahaya berkata, berdasarkan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu polis tidak menemukan sebarang asas untuk mengaitkan kes ini dengan jenayah kerana tiada kesan kecederaan luaran.
Beliau berkata, polis bagaimanapun akan mengambil semula keterangan daripada keluarga mangsa termasuk ibu bapa William selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh dijangka pada Selasa ini.
Sementara itu, ibu bapa William, Yau Kok Kang dan Goh Ying Ying kini dikatakan pulang ke kampung mereka di Melaka untuk menenangkan fikiran berikutan tragedi sedih yang meragut nyawa anak mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130127/je_01/Misteri-kematian-William-terjawab#ixzz2JEJ5s3uN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment