Omar menunjukkan hos yang dipercayai digunakan untuk menyalurkan diesel ke dalam tangki.
Omar menunjukkan hos yang dipercayai digunakan untuk menyalurkan diesel ke dalam tangki.
PANTAI REMIS – Misteri di sebalik stor pelantar ikan di sini, akhirnya terbongkar apabila sepasukan pegawai unit khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menemui tangki berisi diesel bersubsidi, Rabu lalu.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Manjung, Omar Ismail berkata, dalam serbuan jam 5.30 petang di premis tidak bernombor itu, pihaknya menemui beberapa tangki empat segi dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan premis berkenaan kosong dan sudah dikunci.

"Hasil pemeriksaan terhadap premis itu, menemui tiga tangki diisi minyak dipercayai diesel, beberapa pam serta hos yang dipercayai digunakan untuk kerja-kerja pemindahan.

“Kita percaya diesel itu diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan dijual dengan harga lebih rendah daripada pasaran biasa,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Omar berkata, minyak itu juga dipercayai diesel subsidi nelayan kerana lokasi yang terletak berhampiran kawasan nelayan.

Jelasnya, beliau percaya tempat itu baru beroperasi selama enam bulan dan berkemungkinan diesel berkenaan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih murah.

“Kami menyita diesel dengan anggaran 33,200 liter yang bernilai RM59,760 selain lapan pam yang digunakan untuk kerja pemindahan minyak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan.