Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Menyamar polis sebelum samun




         
Kuala Lumpur Menyamar polis sebelum menyamun. Itulah taktik satu kumpulan penjenayah di ibu kota yang memperdaya orang ramai kononnya ingin membuat pemeriksaan di dalam rumah sebelum mengambil semua barangan berharga.

Menurut sumber, taktik penjenayah terbabit ialah hanya dengan menunjukkan gari serta walkie talkie supaya mangsa membenarkan mereka melakukan pemeriksaan di dalam rumah tanpa memberitahu sebab.


Terbaru, dalam kejadian di Jalan Ipoh, di sini, Khamis lalu, mangsa didatangi enam lelaki dan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menunjukkan gari serta walkie talkie sebelum masuk ke rumah untuk melakukan pemeriksaan.

“Selepas masuk ke rumah, mereka terus mengambil barangan berharga iaitu empat telefon bimbit, seutas jam tangan dan kamera digital. Mangsa bersama rakannya di dalam rumah ketika itu turut diraba.


“Selepas mengambil semua barangan berharga, kumpulan penjenayah itu meninggalkan rumah terbabit,” katanya.


Menurutnya, satu lagi kes turut dipercayai dilakukan kumpulan itu berdasarkan modus operandi sama, beberapa jam selepas kejadian berkenaan.

“Mereka menggunakan taktik sama, iaitu memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menunjukkan gari serta walkie talkie dan masuk ke rumah untuk membuat pemeriksaan tanpa memberitahu sebab.


“Mangsa tidak diapa-apakan, namun kehilangan 10 telefon bimbit dan wang tunai RM3,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.


Katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai berhati-hati jika didatangi individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis tetapi enggan menunjukkan kad kuasa.

No comments:

Post a Comment