Search This Blog

Wednesday, January 30, 2013

‘Mengapa dia mati?’

pix_topright
“Saya mati pun tidak apa kerana sudah tua. Mengapa dia (cucu) mati begitu saja. Saya sering tidak dapat tidur, makan dan minum kerana kehilangannya,” rintih Chee Chou Moi, 68, nenek kepada William Yau Zhen Zhong, 6, yang ditemui mati selepas lebih seminggu dilaporkan hilang di Subang Jaya, Selangor, 16 Januari lalu.

Mayat kanak-kanak yang dibawa menggunakan van jenazah tiba di Melaka Memorial Park, Bukit Jelutong di sini, kira-kira jam 12.55 tengah hari dengan diiringi kedua-dua ibu bapanya, William Yau Kok Kang, 32, dan Goh Ying Ying, 28.


Suasana pilu menyelubungi pekarangan kawasan itu apabila upacara sembahyang dan keagamaan dilakukan sebelum mendiang dimasukkan ke dalam tempat pembakaran, kira-kira jam 2 petang.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Tahir Hassan.


Bagaimanapun, sejurus ibu bapa mendiang yang enggan ditemu bual media beredar, suasana kembali pilu apabila nenek kanak-kanak itu tiba di kawasan berkenaan sambil meronta-ronta menangis dan meraung kesedihan.


Chee yang ditemani seorang anak lelakinya dikatakan turut merintih hiba apabila urusan pengebumian itu tidak dimaklumkan kepadanya dan tidak sempat melihat mendiang cucunya buat kali terakhir.

Wanita warga emas itu bagaimanapun ditenteramkan Mohd Ali.


Terdahulu, Mohd Ali ketika menemui Kok Kang dan Goh Ying Ying mengucapkan takziah selain meminta mereka sekeluarga bersabar atas apa yang berlaku.

“Bagi meringankan beban keluarga mendiang, kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan RM5,000 untuk tanggungan kos perbelanjaan upacara pengebumian,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak terutama parti pembangkang tidak mempolitikkan kejadian berkenaan kerana keluarga mendiang masih bersedih.


“Ia termasuk tindakan Lim Kit Siang (Penasihat DAP) yang melemparkan tuduhan kepada Barisan Nasional (BN) mengenai keselamatan kanak-kanak di negara ini sedangkan kejadian berlaku di Selangor iaitu di bawah negeri pembangkang.


“Saya amat berharap kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa depan terutama membabitkan kanak-kanak,” katanya.

No comments:

Post a Comment