Zamri Shamsuddin
Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU - Diberi betis, nak paha! Hanya kerana tidak berpuas hati mendapat RM5 daripada ibu mentua, seorang menganggur tergamak mengamuk dengan mengacukan pisau kepada isterinya sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek mengamuk dengan isterinya bagi mendapatkan duit lebih kerana tidak berpuas hati dengan jumlah yang diberikan, dalam satu kejadian di gerai makan di Kampung Pulau Rusa, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, suspek yang berusia 28 tahun bertambah berang apabila tidak dipedulikan isterinya yang ketika itu sibuk membantu ibunya di kedai makan keluarga mereka.

“Ia menyebabkan suspek bertindak nekad dengan mencapai sebuah kerusi dan menghempapkannya ke dinding kedai makan, sehingga menyebabkan sebuah cermin pecah.

“Suspek yang masih marah kemudiannya meluru ke dapur lalu mengambil sebilah pisau, sebelum mengacukan ke perut isterinya. Terkejut dengan tindakan itu, isterinya menjerit meminta tolong, menyebabkan suspek melemparkan pisau berkenaan ke lantai,” katanya ketika
dihubungi semalam.

Tidak cukup dengan itu, suspek memaksa isterinya pulang dan mengugut akan membakar gerai makan itu jika isterinya enggan.

Dia kemudiannya menendang perut isterinya yang berusia 28 tahun itu, sebelum meninggalkan isterinya di kediaman mereka.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada malam hari yang sama, kerana bimbang keselamatannya terancam dan kejadian sama berulang.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan polis kini memburu suspek yang kini menghilangkan diri.