Search This Blog

Saturday, February 9, 2013

Hantar sampel ke luar negara





RANAU - Sampel ujian kimia berhubung kes kematian 14 ekor gajah Pigmy Borneo di Tawau masih menjadi tanda tanya.
Selepas ujian makmal Jabatan Kimia di Putrajaya tidak dapat menyatakan secara jelas punca kematian, sampel itu akan dihantar ke Thailand dan Australia.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun (gambar) berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menghantar sampel itu ke Ramathibodi Hospital Mahidol University di Bangkok.
Sampel yang sama turut dihantar ke Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Queensland, Australia.
"Kita harap dapat cari jawapan sebenar selepas hantar sampel kimia gajah itu di kedua-dua institusi ini.
"Ia bukan bermakna ujian yang dijalankan di negara ini tidak betul tetapi faktor sebenar (punca kematian) yang tidak dapat diperoleh," katanya selepas merasmikan Program Penggunaan Lampu Cekap Tenaga Sekolah Kebangsaan Randagong di sini semalam.
Masidi berkata, ujian kali kedua itu juga bagi membolehkan pihaknya membuat perbandingan agar satu keputusan konklusif mengenainya dapat diketahui semua pihak.
"Kita tidak mahu ada syak wasangka, justeru itu kita hantar sampel kimia itu untuk ujian sekali lagi dan kali ini di luar negara," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengenai siasatan kes kematian gajah itu masih dijalankan dan mungkin dapat disiapkan dalam minggu ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mengenai penemuan bangkai 14 ekor gajah Pigmy Borneo yang mati dalam keadaan menyayat hati di Hutan Simpan Gunung Rara, kira-kira 130 kilometer dari Tawau, Sabah.
Ketika ditemui awal bulan lalu, organ dalaman bangkai gajah berusia empat hingga 20 tahun itu kesemuanya rosak termasuk usus, mulut dan dubur.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2KMA5vPDU 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment