Polis membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.
Polis membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.
KUALA DUNGUN – Misteri kehilangan seorang pemuda sejak tiga minggu lalu terjawab, apabila dia ditemui mati di celah bangunan, dekat sini, tengah hari semalam.

Shahrudin Ab Karim, 43, ditemui dalam keadaan terbaring berdekatan sebuah surau di medan ikan bakar, dekat Tanjung Kuala Dungun, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Bapa mangsa, Ab Karim Jusoh, 69, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun berkata, anak lelakinya itu dikatakan menghilangkan diri lebih tiga minggu lalu.

Katanya, sejak itu dia tidak mendapat sebarang maklumat berkaitan anak ketiga daripada lima beradik itu, sehinggalah dia dihubungi cucunya bahawa mayat anaknya ditemui di kawasan berkenaan, lalu dia bergegas ke hospital untuk mengetahui perkembangan lanjut.

“Sejak hari itu, saya tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya sehinggalah saya mendapat berita dia ditemui mati,” katanya.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd Faiz Zukarnain, 18, berkata, kali terakhir dia bertemu bapa saudaranya itu di Alor Tembesu, tiga hari lalu.

Kata Faiz, ketika itu dia lihat arwah dalam keadaan lesu, namun dia tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk menimpa bapa saudaranya kerana mengetahui sedikit sebanyak latar belakang mangsa.

“Masa itu saya nampak dia agak lemah dan tak sempat menegurnya, tak sangka pula  mayatnya dijumpai orang hari ini (semalam)," katanya.