Maut dalam banjir
Yoke Pah diperiksa dan disahkan mati akibat serangan jantung.
BENTONG – Kesibukan penduduk di Kampung Baru Repas, dekat sini, mengemas kediaman masing-masing awal pagi semalam kerana bimbang rumah dimasuki air banjir bertukar kalut apabila seorang penduduk maut terkena serangan jantung.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, seorang pekerja kedai keranda, Chen Yoke Pah, 54, ditemui terbaring di hadapan rumahnya oleh jiran.

Mangsa dipercayai baru selesai mengemas rumahnya dan selepas itu keluar ke halaman untuk melihat jiran yang lain mengemas barang.

Dia secara tiba-tiba dipercayai sesak nafas sebelum rebah di hadapan rumahnya yang dinaiki air sebelum disedari jiran yang kemudiannya membawanya masuk ke dalam rumah semula.

Jiran mangsa bergegas menelefon ambulans meminta bantuan dan pasukan perubatan terpaksa meredah air banjir setinggi lebih kurang 0.3 meter sebelum sampai ke rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan mati akibat serangan jantung.

Menurutnya, berdasarkan rekod perubatan, selain menghidap penyakit jantung, mangsa juga mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Mangsa dibawa ke Hospital Bentong menggunakan kenderaan polis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.