rumah pelacuran
Bilik-bilik kecil yang dibina dalam sebuah premis dipercayai untuk aktiviti pelacuran dimusnahkan anggota penguatkuasa DBKL.
KUALA LUMPUR - Ruang sempit tidak menghalang aktiviti persundalan berleluasa.

Dalam operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, setiap bilik dilengkapi pili air, juga ‘hiasan’ gambar wanita dalam keadaan menyolok mata di dinding, termasuk berpeket-peket kondom ditinggalkan, cukup menggambarkan betapa jijiknya aktiviti berlangsung dalam ruang yang hanya memuatkan satu katil bersaiz bujang.

Turut ditemui, buku senarai langganan yang mengenakan caj serendah RM100 bagi setiap pelanggan dan majalah-majalah lucah.

Walaupun beberapa kali diserbu dan dimusnahkan, premis pelacuran di Jalan Petaling, di sini terus beroperasi, memaksa penguatkuasaan dibuat dengan memecahkan struktur serta bilik-bilik yang dibina untuk aktiviti tidak bermoral itu.

Sebanyak 168 bilik meliputi tujuh premis dimusnahkan dalam operasi disertai 162 anggota pelbagai agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Imigresen.

Ketua Operasi DBKL, Minhad Ahmad, berkata, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat kerana kesemua premis yang diserbu dikosongkan terlebih dahulu.

Menurutnya, hasil serbuan mendapati terdapat 10 hingga 20 bilik dibina dalam satu-satu premis, yang mana terdapat tilam, tisu dan beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk tujuan persundalan.

“Tindakan diambil di bawah peruntukan Akta jalan, parit dan bangunan 1974 (Akta 133), ke atas sambungan membina halangan dan sekatan dalam bangunan yang dibuat tanpa kebenaran Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Pihak DBKL akan mengesan pemilik premis dan memberikan notis atas kesalahan membina halangan tanpa kebenaran, dan sekiranya didapati bersalah, kita akan kenakan tindakan mahkamah,” katanya pada sidang media selepas operasi semalam.

Beliau menambah, pihak DBKL akan terus memantau premis-premis terlibat memastikan sarang maksiat yang dimusnahkan tidak dibina semula.

Katanya, berdasarkan tindakan sebelum ini, jumlah premis dan bilik yang dimusnahkan menunjukkan pengurangan, hasil pemantauan dan tindakan berterusan dijalankan.

“Jika sebelum ini bahagian atas dan bawah digunakan bagi tujuan itu, kini aktiviti dijalankan di tingkat atas sahaja, yang turut mempunyai jalan keluar di bahagian belakang premis,” katanya.