Lemas selepas jatuh feri
Anggota penyelamat memeriksa mayat yang ditemui lemas di Batu 8, Jalan Maharajalela, Hutan Melintang, dekat sini, Jumaat lalu.
IPOH - Seorang warga Indonesia lemas selepas tergelincir dari sebuah feri tempat dia bekerja dalam satu kejadian di Batu 8, Jalan Maharajalela, Hutan Melintang, dekat sini, Jumaat lalu.

Mangsa, Wawan Irwansyah, 23, berjaya ditemui orang awam pada jam 9.56 pagi semalam lebih kurang satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh tengah hari kelmarin.

Pegawai Bomba Kanan I Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Rahmad Nazlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam lebih kurang jam 12.28 tengah hari.

Menurutnya, selepas menerima panggilan beliau bersama empat anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Kira-kira jam 2.20 petang, kami memulakan operasi mencari dan menyelamat menggunakan sebuah bot untuk mengesan mangsa.

“Sepanjang operasi dijalankan terdapat sedikit kesukaran memandangkan keadaan hujan lebat,” katanya.

Katanya, selepas lebih 20 jam operasi dijalankan, mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan terapung di tebing Sungai Bernam yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada bomba.

“Operasi dihentikan kira-kira jam 11 pagi sejurus selepas mangsa ditemui,” katanya ketika dhubungi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.