Search This Blog

Saturday, January 5, 2013

Lelaki Thailand didakwa dera bayi



KANGAR 4 Jan. - Seorang lelaki warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dakwaan mendera anak perempuannya yang berusia 37 hari pada hujung tahun lalu.
Surasak Lateh, 26, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Sofia Julianna di Lot 38, Batu 20, Kampung Tersusun, Padang Besar dekat sini pada pukul 5.30 pagi, 24 Disember tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendedahkan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi mangsa.
Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Surasak juga menghadapi tuduhan kedua iaitu didakwa menggunakan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada pukul 8.30 malam, hari yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan wajib menjalani pengawasan tidak lebih dari tiga tahun.
Majistret Zuhair Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi tuduhan mendera dan RM4,000 untuk tuduhan menggunakan dadah, masing-masing dengan dua penjamin warga tempatan.
Beliau juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sehingga kes tersebut berakhir dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kedua-dua kes itu pada 8 Februari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh diwakili peguam bela, Prem Singh Mohan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130105/wu_03/Lelaki-Thailand-didakwa-dera-bayi#ixzz2H6TQ2cc9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment