Search This Blog

Thursday, January 17, 2013

Lelaki mabuk jatuh bangunan



IPOH – Seorang pekerja hotel tidak sempat menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai mabuk daripada jatuh dari tingkat empat sebuah hotel di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu, mangsa cuba dipujuk untuk turun dari bangunan berkenaan oleh beberapa individu di tempat kejadian sebelum terjatuh.

“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 43 tahun itu berasal dari Kajang, Selangor mendaftar seorang diri di hotel berkenaan beberapa jam sebelum kejadian.

“Berdasar keterangan beberapa saksi, mangsa kelihatan mabuk semasa mendaftar di kaunter pendaftaran hotel itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Setakat ini, saya belum terima laporan perubatan membabitkan kejadian. Kes masih disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Pada 8 Januari lalu, seorang wanita ditemui mati berhampiran kolam renang selepas dipercayai terjatuh dari biliknya di tingkat 13, sebuah hotel di sini.

Mangsa berasal dari Kuala Lumpur dipercayai mengalami tekanan perasaan.

No comments:

Post a Comment