Terkejut diisytihar muflis
Tin Hwa (tengah),Ben (kanan) dan peguam, Mak Kah Keong menunjukkan dokumen berkaitan kes tersebut.
AMPANG - Seorang lelaki terkejut apabila diisytiharkan muflis sejak lima tahun lalu walaupun hutang pinjaman sebelum ini dilunaskannya.

Mangsa, Siow Tin Hwa berkata, sebelum ini dia mengalami kesukaran membayar pinjaman perumahan pada 2007 dan disaman bankrap namun berjaya melunaskan hutang tersebut pada bank sekitar 2008.

Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut apabila mendapati dirinya muflis ketika hendak membuat pinjaman bank dan memperbaharui pasport baru-baru ini.

“Lebih teruk lagi, saya didapati berhutang dengan Jabatan Insolvensi apabila dikenakan yuran caj kos pentadbiran RM2,300 sekiranya mahu membatalkan status muflis.

"Saya tidak tahu menahu tentang perkara ini dan situasi ini sememangnya mengejutkan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Penyelas Dun Teratai, baru-baru ini.

Tin Hwa berkata, dia tidak pernah menerima surat notis atau mahkamah yang memaklumkan dirinya muflis kerana berpindah ke rumah lain.

"Sekiranya saya muflis sebelum ini, mengapa akaun bank tidak dibekukan, malah ia masih boleh digunakan selain pernah membuat pasport pada 2008 untuk ke Singapura.

"Perkara ini benar-benar membuatkan saya malu untuk berhadapan orang ramai dan sekarang tidak boleh ke luar negara lagi kerana diisytiharkan muflis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Dun Teratai, Ben Liew berkata, mangsa membayar keseluruhan hutangnya pada bank tetapi pada masa itu, dia tidak mengetahui dirinya muflis.

"Bank sepatutnya tidak boleh menerima duit daripada mangsa.

"Pada masa sama, bank seharusnya memaklumkan kepada Jabatan Insolvensi bahawa pelanggannya menjelaskan hutang pinjaman," katanya.

Dalam kes ini, menurutnya, walaupun hutang dijelaskan, mangsa perlu membuat permohonan pelepasan muflis melalui mahkamah dan pada masa sama perlu membuat rayuan mengurangkan caj kos pentadbiran yang terlalu tinggi.

“Tidak adil bagi mangsa membayar kos tersebut kerana dia telah pun menjelaskan hutang pinjaman tetapi pada masa yang sama tidak mengetahui dirinya muflis sejak 2007,” katanya.