Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Lagi lima suspek militan ditembak mati



Polis Indonesia berkawal selepas polis melancarkan serangan antikeganasan di kawasan Dompu, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, semalam. - AFP
JAKARTA 5 Jan. - Polis Indonesia menembak mati lima suspek pengganas dalam satu siri serbuan antikeganasan ke atas kem-kem militan di wilayah Nusa Tenggara Barat, timur Indonesia, kata pasukan keselamatan itu hari ini.
Jurucakap polis kebangsaan, Boy Rafli Amar berkata, serbuan-serbuan berkenaan dilancarkan lewat malam tadi dan pagi ini di dua buah kem latihan berasingan di wilayah sama.
"Polis terpaksa melepaskan tembakan kerana militan mempunyai bahan letupan. Kem latihan itu digunakan untuk membuat bom," katanya.
Jelas beliau, turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah bahan membuat bom seperti serbuk baja nitrat, paku dan bateri.
Serbuan terbaharu itu dibuat sehari selepas polis membunuh dua suspek militan yang memiliki sepucuk pistol serta bom tangan dan menahan empat yang lain di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.
"Suspek dalam kes baharu ini dipercayai sebahagian daripada anggota kumpulan pengganas di Poso," katanya merujuk kepada sarang pengganas di wilayah Sulawesi Tengah tersebut.
Polis sebelum ini berkata, kumpulan pengganas di Poso dipercayai diketuai suspek paling dikehendaki dikenali sebagai Santoso, yang berperanan melatih militan-militan muda untuk melancarkan serangan ala gerila ke atas pasukan keselamatan.
Sejak akhir tahun lalu, polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di Poso selepas dua pegawai polis yang ditugaskan menyiasat tentang kewujudan kem latihan militan, ditemui mati tertanam dengan kesan kelar di leher. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130106/lu_02/Lagi-lima-suspek-militan-ditembak-mati#ixzz2HCZp4uLZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment