Ketum dalam bonet kereta
Sebanyak 25 kilogram daun ketum basah disembunyikan suspek di dalam bonet depan tempat enjin kenderaan sebelum ditahan UPP di Pengkalan Hulu, kelmarin.
IPOH - Cubaan seorang lelaki warga Thailand menyeludup keluar daun ketum basah seberat 25 kilogram gagal apabila dia ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perak di Kilometer 4.5, Jalan Pengkalan Hulu-Betong, dekat sini, kelmarin.

Komander UPP Perak, Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, suspek yang menaiki lori pikap model Isuzu dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan berhampiran pintu pagar sempadan sebelum ditahan anggota
bertugas.

Beliau berkata, seramai empat anggota diketuai Pegawai Kanan Kastam (PiKK), Junaizan Jusoh bertindak menahan lori berkenaan sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

“Ketika melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kami menemui 20 karung plastik daun ketum yang disusun memenuhi bonet hadapan manakala bahagian belakang kenderaan terbabit kosong.

“Siasatan awal mendapati, suspek yang berasal dari Betong itu membeli daun ketum daripada pembekal di Baling, Kedah dengan harga RM60 sekilogram dan menjualnya dengan harga dua kali ganda di Thailand,” katanya.

Beliau berkata, suspek memasuki negara ini pada pagi hari kejadian menggunakan dokumen perjalanan sah semata-mata bagi membeli daun ketum dibawa pulang ke Thailand dengan alasan ingin menyara keluarga.

Kasturi berkata, suspek ditahan reman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3), Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan penjara tidak melebihi empat tahun atau denda RM10,000.

“Suspek yang berusia 32 tahun ini juga pernah ditahan dan dikenakan kompaun atas kesalahan membawa masuk sejumlah mercun dan bunga api dengan kenderaan sama beberapa hari menjelang sambutan Aidilfitri tahun lalu,” katanya.